KUALA TERENGGANU: Seorang remaja lelaki etnik Rohingya lemas ketika mandi-manda di tali air bersama tiga rakannya di Kampung Sena Rendang di daerah Marang, dekat sini, petang tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Mohd Mazimi Mohamad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.06 petang.

"Seramai tujuh orang anggota dari BBP Kuala Terengganu telah digerakkan ke lokasi bersama dua buah jentera bagi kerja pencarian mangsa, iaitu Mohamad Jomil Hairul, 16.

"Dalam kejadian itu, tiga rakan mangsa yang juga warga Rohingya dilaporkan selamat dan kerja pencarian terus dimulakan sebelum mangsa berjaya ditemui kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian pada jam 7.45 malam," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan menafikan kejadian tersebut berkait dengan bencana banjir yang melanda daerah berkenaan ketika ini.

-- BERNAMA